Membaca baris lagu ini sahaja pasti membuatkan kita terbayang wajah
penyanyi kesayangan ramai Saleem yang mempopularkan lagu ini sekitar
2008.
Lagu yang berjudul Cinta Tiga Segi ini bukan sahaja menjadi siulan
anak-anak muda, malah ia sering kali menjadi pilihan ramai untuk
berkaraoke.
Di sebalik keunikan lagu ini, ada kisah misteri yang tersembunyi,
kononnya ia dicipta oleh seorang banduan yang bernama Hazwan, sebelum
dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh kekasihnya.
Sebelum meninggal, dia meminta rakannya untuk merakamkan lagu itu
sebagai tanda kenangan dan sejauh manakah kebenarannya menjadi tanda
tanya sehingga kini.
Bagaimanapun, setelah tiga tahun, akhirnya pencipta sebenar lagu ini tampil membuat pendedahan eksklusif bersama Zass.
Akui terkilan dan geram dengan pelbagai andaian dan cerita yang tidak
berasas direka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, Mohd Nazri Mohd
Yusof, 26, atau Ayie yang merupakan seorang anggota polis dari
Singapura, tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Bagi Ayie, sudah sampai masanya masyarakat mengetahui perkara sebenar
dan tidak terus terperdaya dengan cerita-cerita yang tidak berasas itu.
"Bukan saya tak mahu bersuara sebelum ini, tapi keadaan tidak mengizinkan. Sebenarnya saya sentiasa berusaha untuk menyampaikan perkara sebenar, tapi saya bertemu dengan orang yang salah dan tidak dapat memperbetulkan keadaan. Lagipun saya berada di Singapura dan tiada kenalan di Malaysia yang dapat membantu," kata Ayie memulakan bicara.
Muat turun di YouTube sejak 2006
Menurutnya, tajuk sebenar lagu itu adalah “Perangkap Cinta” yang ditulisnya ketika berumur 13 tahun lagi iaitu pada 1998.
Ketika itu dia yang sedang dilamun cinta monyet hampa kerana insan yang
disayangi menolak cintanya dan kembali kepada kekasih lama.
“Memang lagu ini saya tujukan khas untuk dia, secara tepatnya ia adalah luahan perasaan saya kepada gadis tersebut. Mula-mula saya rekod lagu ni dengan hanya menggunakan telefon bimbit dan didengarkan kepada kawan-kawan.
“Selepas itu ia mula merebak selepas kawan-kawan mendengarkannya kepada kawan yang lain pula. Seingat saya, saya memasukkan lagu ini ke YouTube pada 2006. Selepas itulah semakin ramai yang menyanyikan semula lagu itu.
“Kalau di Singapura, sebut sahaja “Perangkap Cinta” semua sudah tahu siapa yang mencipta dan menyanyikan lagu itu. Saya sendiri tidak sangka hanya kerana sebuah lagu, pelbagai perkara boleh terjadi dan berlarutan sehingga ke hari ini,” katanya.
Sumber : penmerah