Gara-gara penangan hebat diantara lakonan mantap pelakon Mia Ahmad dan Saharul Ridzwan menerusi drama Hati Perempuan sebelum ini, ramai peminat yang mengaitkan mereka mempunyai hubungan cinta.

Namun apabila baru-baru ini Saharul Ridzwan mengumumkan bakal mendirikan
rumah tangga selepas Aidilfitri ini, sekaligus segala dakwaan terhadap
mereka meleset.
Mia Ahmad dalam pada itu memaklumkan beliau gembira mendengar
perkhabaran itu selain menyifatkan segala gosip cinta yang mengaitkan
dirinya dengan Saharul adalah tidak benar.
“Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa dia akan berkahwin. Perempuan yang menjadi pilihannya adalah bukan saya, tetapi saya turut tumpang gembira. Namun saya tidak terkejut dengan berita itu. Ini kerana itu adalah bukti bahawa gosip yang mengaitkan kami bercinta selama ini adalah tidak benar”
“Benar peminat memang suka kami bercinta seterusnya berkahwin. Tapi dalam hal hati, baik saya dan Saharul berhak membuat pilihan sendiri,” katanya.
Sementara itu, apabila mengulas mengenai gosip hubungan cintanya bersama
pemain bola sepak JDT, Mia berkata bahawa orang ramai terlalu pantas
membuat kesimpulan apabila terlihat kami keluar bersama. Namun begitu
beliau akui bahawa dirinya senang sekali berkawan dengan jejaka bernama
Izham Tarmizi itu.

Terdahulu, Mia pernah dikaitkan bercinta bersama Saharul Ridzwan
gara-gara promosi yang hebat untuk drama Hati Perempuan suatu ketika
dahulu. Namun kedua-dua pihak menafikan dakwaan itu dan menjelaskan
bahawa mereka hanya berkawan baik tanpa ada hubungan istimewa seperti
yang diharapkan peminat mereka.





