Setelah hampir 3 bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Yatt Hamzah pada
Jumaat mengesahkan sedang hamil dua bulan hasil perkahwinan keduanya
dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26.
Menurut Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 36, dia menyedari
tentang kehamilannya pada tiga minggu lalu dan kini memasuki bulan
kedua.
"Alhamdulillah, saya disahkan hamil anak kedua ini pada tiga minggu lalu dan kini sudah memasuki bulan kedua.
"Setakat ini kandungan agak manja sikit dan saya hanya makan di rumah sahaja kerana tidak boleh makan di luar," ujarnya.
Sementara itu Yatt berkata, dia bersyukur dengan rezeki cahaya mata
tersebut dan mengakui sudah lama menunggu untuk menambah zuriat sejak
kelahiran anak pertama menerusi perkahwinan terdahulu iaitu Suci Hanania
Malika yang kini berusia 6 tahun.
"Saya bersyukur kerana memang sejak kelahiran Suci enam tahun lalu saya sentiasa berdoa untuk diberikan cahaya mata kedua dan sekarang pada perkahwinan kedua ini Allah makbulkan doa saya.
"Bukan saya sahaja, malah Suci orang yang paling gembira untuk mendapat adik. Dia yang banyak mengingatkan saya agar berhati-hati," ujarnya.
Yatt Hamzah bersama suami, Mohamad Zulfadhli. |
Dalam pada itu Yatt berkata, menerusi kandungan kedua ini dia lebih
berhati-hati terutama apabila diberitahu terdapat sedikit pendarahan.
"Saya dinasihatkan untuk lebih banyak berehat kerana doktor beritahu ada sedikit pendarahan dan perlu berhati-hati," ujarnya.
Untuk makluman, Yatt sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib
Shukor pada 29 Mac 2009, namun bercerai pada 25 Ogos 2015.