Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman
terguris hati dengan kenyataan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran yang
menyifatkan hasratnya untuk membeli saham syarikat itu sekadar untuk
meraih populariti.
Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata, beliau
bagaimanapun enggan mengeruhkan lagi keadaan dan memahami perasaan Ravi
kerana pernah melalui saat-saat sukar seperti itu.
"Saya terguris hati di atas kenyataan itu. Tapi saya faham mungkin beliau cakap begitu kerana tertekan dengan masalah yang timbul.
"Lagipun beliau sering menjadi perhatian media sekarang. Saya faham apa yang beliau rasa kerana saya sendiri pernah berada dalam situasi itu," katanya.
Vida berkata, beliau pernah mengalami zaman kejatuhan apabila
syarikatnya mengalami kerugian sebanyak RM6 juta pada 2009 apabila iklan
produknya tidak memberi pulangan.
"Akibat salah mengiklan, saya alami kerugian kerana produk langsung tidak dapat sambutan. Ini saat paling sukar kerana saya terpaksa bermula dari kosong, hilang segala-galanya.
"Namun berkat doa dan usaha keras, saya kembali bangkit. Oleh sebab itu sekarang apabila saya jadi penaja, saya mahu stesen TV mengikut cara saya," katanya.
Ditanya sama ada hasratnya itu sekadar 'gimik', Vida menafikan perkara
itu dan mengakui masih serius untuk memiliki saham Rayani Air kerana
melihat syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara tersebut
mempunyai potensi besar untuk maju pada masa hadapan.
"Saya dari awal sudah tertarik dengan syarikat ini kerana elemen patuh syariah. Walaupun diterajui orang bukan Islam tetapi Ravi berani mencetuskan pembaharuan di dalam industri penerbangan negara," katanya.
Menurut Vida beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Ravi pada
minggu depan untuk membincangkan dengan lebih terperinci berhubung
hasratnya untuk membeli saham syarikat penerbangan itu.
"Saya cuba atur pertemuan dengan beliau dalam minggu depan. Sekarang saya sibuk, ada shooting sana sini dan beberapa komitmen lain.
"Saya pun baru sahaja balik dari Sabah. Saya kena jumpa peguam saya terlebih dahulu, dapatkan pandangan sebelum pertemuan ini diadakan," katanya.
Sebelum ini, Ravi secara terbuka membidas Vida supaya tidak menggunakan syarikat penerbangannya sekadar untuk meraih populariti.
Kenyataan Ravi itu dibuat selepas jutawan kosmetik tersebut berhasrat
membeli saham Rayani Air tetapi enggan menanggung beban hutang syarikat
penerbangan tersebut.