JAKARTA - Seorang pekerja wanita bertudung di sebuah restoran yang
menjual makanan berlaukkan babi di sini, telah dipecat setelah gambarnya
sedang melayan pelanggan di restoran tersebut viral di internet
baru-baru ini , menimbulkan kritikan dan kecaman dari orang ramai.
Gambar tersebut yang dirakamkan oleh pemilik restoran berkenaan
menunjukkan wanita tersebut sedang menyediakan makanan di samping
beberapa banting (banner) yang memaparkan iklan Nasi Uduk Babi Buncit,
merujuk kepada nasi lemak berlaukkan babi dan lakaran kartun babi.

Akhbar Jakarta Post melaporkan, pemilik restoran yang terletak di
Jakarta Barat itu mengambil keputusan memecat pekerja berkenaan bagi
mengelakkan salah faham apabila ada di antara orang ramai yang membuat
kecaman dan kritikan pedas.
"Kami tidak lagi menggaji wanita yang memakai tudung itu sejak 20 Mei lalu selepas menerima pandangan daripada beberapa orang Islam yang menghubungi kami,’’ menurut kenyataan restoran tersebut melalui akaun media sosialnya semalam.
Kenyataan itu juga menyebut, restoran berkenaan meminta maaf kepada
seluruh masyarakat Islam yang berasa tersinggung dengan gambar wanita
bertudung itu yang menjadi viral di internet.





