Seorang lelaki melalui laman Facebooknya telah mendakwa telah dipukul
oleh seorang kenamaan bersama dua orang lelaki yang menyebabkan dia dan
teman wanitanya cedera, Jumaat lalu.
Kejadian berkenaan didakwa berlaku kira-kira jam 5.45 petang 15 Mei dan
sebuah video yang berjaya dirakam oleh pengunjung Aman Mall berhampiran
telah menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin telah
mengesahkan kejadian tersebut, pihaknya masih melakukan siasatan untuk
mengenal pasti identiti individu yang didakwa lelaki berkenaan.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan sudah dibuka pada tarikh kejadian."
"Sehingga kini orang kenamaan berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas," katanya.
Mangsa yang menggunakan nama Adam Naim melalui laman Facebooknya menceritakan kejadian sebenar yang berlaku.
Pada 15 Mei 2016, Ahad, jam 5.45 petang, semasa saya keluar dari Aman
Central, kemudian saya terus memandu kereta saya memasuki lorong tengah
di persimpangan lampu isyarat di hadapan Aman Central.
Datang sebuah kereta jenis Toyota Harrier berwarna hitam yang dipandu
oleh seorang lelaki Melayu berusia 20’an bersama dengan dua penumpang
lelaki Melayu berusia 20’an dan 50’an.
Pemandu terbabit telah membunyikan hon panjang dan berada di sebelah
kiri kereta saya. Sewaktu itu, lampu isyarat berwarna merah.
Kemudian pemandu kereta tersebut telah menurunkan tingkap keretanya dan berkata,
“Kenapa? Kenapa? Hang tak kenal lagi aku siapa!” katanya berulang kali dan meminta saya keluar dari kenderaan.
Tetapi saya enggan berbuat demikian, Tiba-tiba lelaki 50’an keluar
dari kereta dan terus membuka pintu kereta saya, merampas kunci kereta.
Dia telah menumbuk saya di bahagian mulut. Akibatnya, mulut saya
mengalami luka.
Kemudian, lelaki yang sama juga telah menarik tangan saya untuk
keluar dari kereta. Apabila saya keluar dari kereta, saya membalas
tumbukan lelaki itu.
Datang pula dua lelaki 20’an itu dan mereka bertiga berganding bahu
memukul saya. Teman wanita saya keluar dari kereta cuba meleraikan
pergaduhan di antara kami. Namun, teman wanita saya telah ditarik dan
ditumbuk di bahagian dada dan kedua-dua tangannya.
Orang ramai yang menyaksi kejadian itu datang cuba meleraikan
pergaduhan itu. Kemudian ketiga-tiga mereka masuk semula ke dalam kereta
dan terus meninggalkan tempat kejadian.
Saya telah membawa teman wanita saya ke KMC Alor Setar, Kedah, kerana dia mengalami kesesakan nafas yang sangat teruk.
Beberapa hari selepas kejadian, saya mendapat tahu daripada rakan
ayah saya yang bekerja di Wisma Negeri Kedah bahawa lelaki yang berusia
50’an itu adalah Dato Azmi Che Husain, Timbalan Speaker Negeri Kedah.
Tujuan saya kongsikan perkara ini adalah mahu beliau tampil
memberikan keterangan kepada pihak polis agar kes ini dapat diselesaikan
secepat mungkin. Saya amat tidak berpuas hati kerana saya dan teman
wanita telah dipukul oleh 3 orang samseng jalanan yang berpangkat VVIP.
Sekian.