Kadang-kadang ada yang memperkecilkan artis atau golongan selebriti
tempatan dengan mengatakan mereka tidak berpelajaran atau gagal dalam
pelajaran.
Namun jangan lupa, ada juga dikalangan mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang mungkin lebih baik daripada kita.
Berikut adalah 12 selebriti malaysia yang berpendidikan tinggi, dimana
ada diantara mereka memiliki ijazah di universiti tempatan dan ada juga
di universiti luar negara.
1) Najwa Muhyiddin
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri ini merupakan siswazah jurusan
Kejuruteraan Elektronik dari Melbourne, Australia. Namun pelantun suara
lagu “Got to Go” ini memilih untuk menyambung pengajian di Kolej Muzik
Berklee, Massachusetts, Amerika Syarikat demi mengejar cita-cita menjadi
penghibur terbaik.
2) Lisa Surihani
Pelakon “Istanbul, Aku Datang” ini bukan semata-mata aktres berwajah
kacukan yang menggunakan kecantikannya meraih kerjaya dalam bidang
peragaan dan lakonan. Lisa memiliki Ijazah Undang-Undang dari Kolej
Universiti Help dan Universiti Aberystwyth di Wales, United Kingdom.
3) Yuna
Dia mungkin antara penyanyi/penggubah lagu yang paling terkenal di
Malaysia dan mampu menempa nama di persada antarabangsa. Namun tidak
klise seperti ‘pemuzik jalanan’, Yuna memiliki ijazah dalam bidang
Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (UiTM).
4) Daphne Iking
Personaliti TV terkenal, Daphne Iking, atau kini mesra dengan nama
Dahlia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Penyiaran (Filem, TV
dan Radio) dan pada tahun 2004, memperolehi Ijazah Sarjana dalam
Komunikasi. Kedua-dua pencapaian akademik tersebut diperoleh dari
Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
5) Ahmad Idham
Pada tahun 2011, pengarah terkenal Ahmad Idham dikhabarkan telah
mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengambil kursus Ijazah
Kedoktoran (PhD) dalam bidang industri. Pengarah “Remp-It” yang
memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan dari UiTM Shah Alam
ini akan menghasilkan tesis PhD berasaskan bidang perfileman tempatan –
cabaran, permasalahan dan cara mengatasi halangan terbabit.
6) Sudirman Hj Arshad
Allahyarham Sudirman Arshad merupakan antara artis tempatan yang
dikenali kerana memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Bukan
sahaja dia menolak biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang
perubatan, Sudirman juga mempunyai Ijazah dalam bidang Undang-undang
dari Universiti Malaya dan pernah menjadi peguam.
7) Datuk Aznil Hj Nawawi
Personaliti TV, pelakon dan penyanyi ini juga merupakan alumnus
Universiti Malaya yang memiliki Ijazah Sarjana Ekonomi. Namun begitu,
personalitinya yang ceria dan minat mendalam dalam media membolehkan
Aznil mengubah haluannya dan menempa nama dalam bidang penyiaran.
8) Fazley Yaakob
Tidak kisahlah jika suatu masa dulu ijazah kedoktorannya dikatakan
palsu, Fazley masih memiliki Ijazah dalam bidang Pentadbiran dan
Perdagangan dari Victoria University of Wellington, New Zealand.
9) Jason Lo
Bintang muzik Irish-Cina kelahiran Kuching, Sarawak ini merupakan
seorang graduan dalam bidang Perakaunan di University of Hull selain
Ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan di Webster Graduate School in
London.
10) Kaer Azami
Selepas bekas peserta “Akademi Fantasi Musim 2″ ini menyambung
pengajiannya di Jakarta, Indonesia selama empat tahun dalam bidang
Perniagaan, penyanyi bersuara R&B ini merancang untuk sambung
pengajiannya untuk peringkat master di London pula.
11) Aishah
Penyanyi terkenal 90-an, Wan Aishah Wan Ariffin atau mesra dengan nama
Aishah ini pernah terbang ke New Zealand untuk menyambung pengajian
dalam bidang Sains Politik di Universiti Auckland. Walau bagaimanapun
atas beberapa faktor, dia akhirnya memperoleh ijazah dalam bidang
Pendidikan Kanak-Kanak.
12) Azhar Sulaiman
Pelakon “Keluarga Iskandar” ini memiliki diploma Senibina dari UiTM Shah
Alam pada tahun 1994, Ijazah Sarjana dalam bidang Senibina dari
University of Newcastle Upon Tyne di United Kingdom pada tahun 1997,
Ijazah Senibina/Pengajian Lanjutan dari University of Kingston Upon
Thames, London pada tahun 1999 dan Professional Practice dalam bidang
Senibina University of Westminster, London pada tahun 2001.