KEMAMAN - Seorang juruteknik rentung selepas kereta yang dipandunya
bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di kilometer 118
Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Kubu, di sini pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Abdul Manaf Mat
Said, 27, yang bertugas di Kolej Universiti TATI maut di tempat
kejadian.
Beliau yang memandu Perodua Myvi secara berseorangan dari arah Jerangau
menghala ke Jabor bertembung dengan sebuah Proton Persona yang dipandu
seorang kerani Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang
dipercayai terbabas hingga masuk ke laluan bertentangan.
Susulan pertembungan itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbakar malah
pemandu Proton Persona, Nurfahayat Rani, 33, mengalami kecederaan parah
dan patah kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan
kejadian dan menurutnya mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Kemaman
dan Nurfahayat dirawat di hospital yang sama.
Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri Abdullah Mohamad pula
berkata, ketika pihaknya tiba, kedua-dua kenderaan tersebut telah
terbakar keseluruhannya.
Katanya seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh
Baru bersama satu jentera serta unit pasukan Kecemasan, Perubatan,
Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian
sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7.45 pagi.
"Seorang pemandu telah ditemukan rentung di dalam kenderaannya manakala seorang pemandu wanita mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan orang awam," katanya.
CERITA ORANG AWAM YANG MENYELAMATKAN MANGSA