Musuh-musuh Islam terutama di kalangan orientalis Barat telah memasukkan
jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah Rasulullah
SAW.
Ia agar seluruh masyarakat dunia terutamanya umat Islam terkeliru dengan
fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj. Sedangkan mereka
tidak pernah melakukan kajian secara empirikal.
Hal ini dijelaskan oleh Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd.
Noor.
Katanya, gerakan orientalis Barat yang kononnya berpaksikan pelbagai
sumber ilmu secara akademik cuba memberitahu dunia bahawa umat Islam
tidak ada hak ke atas Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa itu dengan menafikan
berlakunya Israk dan Mikraj.
Sebelum ini, mereka telah mencari pelbagai sudut bagi menafikan
berlakunya kejadian yang wajib dipercayai dan diyakini benar itu. Ia
termasuk tampil dengan pendapat bahawa Israk dan Mikraj hanya berlaku
dalam mimpi baginda. Iaitu hanya roh baginda sahaja yang mengembara dan
bukannya dengan jasad sekali.
Mereka juga kata Mohd. Roslan, cuba menimbulkan keraguan dengan
mengatakan bahawa Masjid Aqsa itu sebenarnya tidak wujud di zaman Nabi
Muhammad dan sewaktu 'perjalanan malam' itu berlaku.
Pendapat itu dinyatakan oleh seorang orientalis Barat yang mengaku
dirinya banyak melakukan penyelidikan kehidupan kaum Yahudi di zaman
pertengahan Islam iaitu Shelomo Dov Goitein (3 April 1900 - 6 Febuari
1985, berbangsa Yahudi Jerman).
"Menurut Goiten jika masjid itu sendiri tidak wujud bagaimana boleh berlaku peristiwa yang sangat bersejarah itu. Di samping itu, dia juga memberikan alasan perkataan Masjid Aqsa itu diterjemah oleh pentafsir pertama, iaitu Mutatis @ Mutatis Ibnu Sulaiman yang disifatkan sebagai terlalu lewat. Iaitu hanya selepas 150 tahun kewafatan Nabi Muhammad," kat Mohd. Roslan.
Dengan alasan tersebut di samping makna al-Aqsa itu sendiri bermaksud
sangat jauh, orientalis Barat mendakwa masjid paling jauh yang pernah
wujud di zaman Rasulullah adalah Masjid Nabawi dan bukannya Masjid Aqsa.
Kata Mohd. Roslan, mereka turut mempersoalkan perkataan Jurusalem
sebagai tidak pernah disebut oleh Allah dalam al-Quran. Sekali gus ia
dijadikan alasan Nabi Muhammad sebenarnya tidak pernah sampai ke
Palestin.
Alasan kedua pihak orientalis Barat menafikan Masjid Aqsa sebagai
destinasi utama sebelum baginda dimikrajkan sehingga naik ke Siddratul
Muntaha menemui Allah SWT adalah tidak ada sebarang binaan masjid
berbentuk fizikal wujud di tapak yang didakwa oleh umat Islam sebagai
tapak Masjid Aqsa itu sendiri.
Yang ada hanya binaan oleh Khalifah Abdul Malik Marwan (tahun 646
M-705M) iaitu Khalifah kelima dalam Kerajaan Bani Umayyah dan binaan
tersebut itu adalah Dome Of The Rock atau Kubah Batu (Kubbatul
Syakhrah). Ia bukannya Masjid Aqsa.
"Lalu dengan alasan ini orientalis minta kita percaya bahawa Israk Mikraj hanyalah ciptaan dan rekaan semata-mata.
"Ia juga menunjukkan Islam tidak berhak terhadap Palestin kerana umat Islam tidak mempunyai hak dan asas yang kukuh sama ada dalam aspek agama, dalil dan hujah, sejarah dan sebagainya.
"Yang paling berhak ke atas Palestin terutamanya Baitul Maqdis adalah bangsa Yahudi dengan alasan kawasan suci itu pernah diperintah oleh Raja-raja Yahudi yang terkenal iaitu King Soloman (Nabi Sulaiman) dan King David (Nabi Daud)," katanya.
Walaupun tiada sebarang bentuk binaan berbentuk masjid seperti yang
didakwa oleh orientalis itu, namun kata Mohd. Roslan, uniknya Masjid
Aqsa adalah mengikut apa yang diasaskan oleh Islam mengenai makna masjid
itu sendiri.
Ia tidak semestinya memerlukan sebarang struktur binaan seperti berbumbung dan berdinding.
Tetapi cukup memenuhi tiga syarat utama iaitu lokasi atau kedudukan
kawasan masjid, sempadan masjid dan arah kiblat masjid yang mengadap
Kaabah di Masjidil Haram.
Yang dimaksudkan sebagai Masjid Aqsa itu sendiri tegas Mohd Roslan
adalah seluruh kawasan suci Al-Haram Asy Syarif yang meliputi kawasan
seluas 144 meter persegi.
Masjid Aqsa didirikan sebagai Masjid Jamek bagi membolehkan umat Islam mendirikan solat Jumaat.
Al-Haram asy-Syarif bermaksud tanah suci yang mulia adalah kompleks
bangunan suci umat Muslim yang dikelilingi tembok (Wall City) berbentuk
empat segi panjang di bahagian timur dalam wilayah Kota Lama Jerusalem
yang termasuk kawasan Jerusalem Timur di mana terdapat dua bangunan
iaitu Kubah Batu dan Masjid Aqsa.
"Jadi, ketika Rasulullah sampai ke Masjid Aqsa, ia merupakan sebuah tempat ibadat terbuka yang dikelilingi tiang-tiang di bawah bukit (Al-Haram Asy-Syarif)," kata beliau.
Maka katanya, tidak timbul dakwaan Masjid Aqsa itu tidak wujud.
Sedangkan pihak orientalis tidak pernah membuat kajian empirikal.
Katanya, mereka kuat dipengaruhi oleh pendapat orientalis berdarah
Yahudi yang melakukan apa sahaja untuk mengaku bahawa Palestin adalah
tanah suci mereka secara mutlak.
"Sedangkan apa yang mereka cari iaitu kuil Nabi Sulaiman dan sebagainya sampai hari ini tidak ditemui.
"Saya yakin ia tidak akan pernah dijumpai kerana tidak pernah wujud pun sebelum ini," kata Mohd. Roslan.