Seorang wanita dari Canberra, Australia dilaporkan pecah implan pada
bahagian payudara selepas seekor kanggaru melompat ke atasnya, baru-baru
ini.
Kejadian berlaku ketika Sharon Heinrich bersama rakannya, Helen Salter
terjatuh apabila sedang berbasikal di pusat pelancongan Clare Valley,
negeri Australia Selatan.
Ketika sedang leka menunggang basikal, seekor kanggaru bersaiz besar
melompat ke arah mereka sehingga kedua-duanya terjatuh dan ketika itulah
binatang itu terpijak payudara Sharon sehingga implannya pecah.
Akibat rempuhan kuat tersebut, Sharon yang merupakan seorang jururawat,
turut patah tiga tulang rusuk dan dilaporkan bakal menjalani pembedahan
pada Khamis ini.
Secara bergurau, Sharon berkata: “Implan ini kan bekerja seperti
tempat simpanan air, ia pecah gara-gara lompatan kasar kanggaru
tersebut.”
Lucunya, suami Sharon masih sempat memberikan patung mainan kecil
berbentuk kanggaru bertinju sebagai kenang-kenangan insiden itu.